Wednesday, 25 January 2017

Mama yang sedih....

Dua tiga hari yang mencabar Mama. Dua tiga perkara yang membuatkan Mama letih, tekanan, dan sibuk dan resah. Perasaan yang lama tidak hadir di hati Mama.

Mama menangis.

Dua hari lepas, Mama termenung di meja makan. Mama tengok jam. Pukul 12.00 tengah malam. Ada sedikit kesal memarahi Safiya sesampainya di rumah tadi. Ada sedikit kesal merungut bila Safiya meminta dibawa ke tandas buang air kecil. Yelah, hujan sangat lebat ditambah lagi dengan kesesakan lalu lintas.

Sedang termenung, Mama dengar bunyi pagar di tangga. Mama menoleh. Safiya turun perlahan-lahan.

“Mama okaay?”

“Ya, Mama okaay Safiya..”

Safiya menuju ke peti ais. Mama fikirkan Safiya mahu mengambil gula-gula. Rupa-rupanya sebotol jus sejuk. Dia menghilang ke dapur mengambil gelas. Dituangnya air. Dan diberikan pada Mama.

“Mama minumlah”

Perlahan-lahan Safiya menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Mama.

“Mama sedih sebab work?”

Mama senyum.

“Mama sabar ya. Ya kan ada untuk Mama.”

Terus air mata Mama mengalir deras.

Laju Safiya turun dari kerusi menuju ke arah Mama, menyeka air mata Mama.

“Mama, Ya kan ada. Daddy kan ada. Adik kan ada. Nimi kan ada. Ya hug Mama.”

Safiya tersenyum. Jelas lesung pipitnya.

Safiya tarik Mama dan peluk Mama. Perasaan yang Mama tak boleh nak jelaskan. Mama sebak. Safiya dah besar.

Ya, Safiya dah besar. Safiya yang satu ketika dulu setiap malam tidur dengan Mama, Safiya yang dulu berpanas temankan Mama mencari kerja merata-rata, Safiya yang dulu sering ditegur kulitnya tidak cantik kerana eczema teruk, Safiya yang dulu dihina kerana mereka yang tidak suka pada Mama dan Daddy, Safiya yang dulu tersenyum basah bila hujan lebat bocor menembus bumbung kereta, Safiya yang dulu sanggup berjalan kaki kerana Mama dan Daddy lebih sanggup menggunakan duit untuk makan berbanding parking yang mahal.

Satu ketika dulu.

Dan, Safiya yang merenung Daddy bila Daddy memegang Sabrina. Safiya yang begitu sebak bila menceritakan tentang Daddy, yang dirasakan Daddy sudah tumpah kasihnya pada Sabrina. Sungguh, begitu mudah tersentuh hati seorang anak kecil.  

Namun hati yang suci itu adalah salah satu tempat terbaik untuk meluahkan perasaan.

Rasa kehilangan. Masa yang tak akan kembali lagi.

“Jom sayang, tidur dengan Mama ya…..temankan Mama yang sedih ni.”

“Okaay Mama” Safiya tersenyum lagi.

Mama betulkan bantal dan selimut. Daddy sudah belayar entah sampai ke mana.

Mama baring dan peluk Safiya. Tenang. Lima minit kemudian,

(Safiya golek kiri kanan kiri kanan)

Mama mula naik angin.

“Kenapa Safiya? Jangan bising-bising nanti Sabrina terjaga!”

Safiya merenung aku dalam gelap. Mama mendengus.

“Nak tidur dengan Daddy kan? Tadi janji nak tidur dengan Mama? Kan Mama sedih?”

“Yelah, tahu. Tapi, kan Ya dah hug Mama. Ya….tak boleh tidur takde tangan Daddy.”

“Yelaaahhhhhh!”

Maka, Safiya dengan pantas mengambil bantal Minnie Mouse dan Baby Bop kesayangan bergerak ke katil Daddy. Mama lihat Safiya ambil tangan Daddy, tepuk-tepuk macam bantal dan baring atas lengan Daddy.

Tak sampai lima minit, Safiya pun tidur!!
Hmm. Lalu, Mama pun pandang ke luar dan bermonolog, Mama yang sedih.