Dua tiga hari yang mencabar
Mama. Dua tiga perkara yang membuatkan Mama letih, tekanan, dan sibuk dan resah.
Perasaan yang lama tidak hadir di hati Mama.
Mama menangis.
Dua hari lepas, Mama termenung
di meja makan. Mama tengok jam. Pukul 12.00 tengah malam. Ada sedikit kesal
memarahi Safiya sesampainya di rumah tadi. Ada sedikit kesal merungut bila
Safiya meminta dibawa ke tandas buang air kecil. Yelah, hujan sangat lebat
ditambah lagi dengan kesesakan lalu lintas.
Sedang termenung, Mama dengar
bunyi pagar di tangga. Mama menoleh. Safiya turun perlahan-lahan.
“Mama okaay?”
“Ya, Mama okaay Safiya..”
Safiya menuju ke peti ais.
Mama fikirkan Safiya mahu mengambil gula-gula. Rupa-rupanya sebotol jus sejuk.
Dia menghilang ke dapur mengambil gelas. Dituangnya air. Dan diberikan pada Mama.
“Mama minumlah”
Perlahan-lahan Safiya menarik
kerusi dan duduk bertentangan dengan Mama.
“Mama sedih sebab work?”
Mama senyum.
“Mama sabar ya. Ya kan ada
untuk Mama.”
Terus air mata Mama mengalir
deras.
Laju Safiya turun dari kerusi
menuju ke arah Mama, menyeka air mata Mama.
“Mama, Ya kan ada. Daddy kan
ada. Adik kan ada. Nimi kan ada. Ya hug Mama.”
Safiya tersenyum. Jelas lesung
pipitnya.
Safiya tarik Mama dan peluk
Mama. Perasaan yang Mama tak boleh nak jelaskan. Mama sebak. Safiya dah besar.
Ya, Safiya dah besar. Safiya
yang satu ketika dulu setiap malam tidur dengan Mama, Safiya yang dulu berpanas
temankan Mama mencari kerja merata-rata, Safiya yang dulu sering ditegur
kulitnya tidak cantik kerana eczema teruk, Safiya yang dulu dihina kerana
mereka yang tidak suka pada Mama dan Daddy, Safiya yang dulu tersenyum basah
bila hujan lebat bocor menembus bumbung kereta, Safiya yang dulu sanggup
berjalan kaki kerana Mama dan Daddy lebih sanggup menggunakan duit untuk makan
berbanding parking yang mahal.
Satu ketika dulu.
Dan, Safiya yang merenung
Daddy bila Daddy memegang Sabrina. Safiya yang begitu sebak bila menceritakan
tentang Daddy, yang dirasakan Daddy sudah tumpah kasihnya pada Sabrina.
Sungguh, begitu mudah tersentuh hati seorang anak kecil.
Namun hati yang suci itu
adalah salah satu tempat terbaik untuk meluahkan perasaan.
Rasa kehilangan. Masa yang tak
akan kembali lagi.
“Jom sayang, tidur dengan Mama
ya…..temankan Mama yang sedih ni.”
“Okaay Mama” Safiya tersenyum
lagi.
Mama betulkan bantal dan
selimut. Daddy sudah belayar entah sampai ke mana.
Mama baring dan peluk Safiya.
Tenang. Lima minit kemudian,
(Safiya golek kiri kanan kiri
kanan)
Mama mula naik angin.
“Kenapa Safiya? Jangan
bising-bising nanti Sabrina terjaga!”
Safiya merenung aku dalam
gelap. Mama mendengus.
“Nak tidur dengan Daddy kan?
Tadi janji nak tidur dengan Mama? Kan Mama sedih?”
“Yelah, tahu. Tapi, kan Ya dah
hug Mama. Ya….tak boleh tidur takde tangan Daddy.”
“Yelaaahhhhhh!”
Maka, Safiya dengan pantas
mengambil bantal Minnie Mouse dan Baby Bop kesayangan bergerak ke katil Daddy.
Mama lihat Safiya ambil tangan Daddy, tepuk-tepuk macam bantal dan baring atas
lengan Daddy.
Tak sampai lima minit, Safiya
pun tidur!!
Hmm. Lalu, Mama pun pandang ke
luar dan bermonolog, Mama yang sedih.



